CYBERJAYA - Meskipun masih belum sedar, namun keadaan pengawal peribadi yang ditembak di balai ketibaan Teminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada dalam keadaan stabil.
Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, Mohd Nur Hadith atau lebih dikenali sebagai 'Along' masih belum sedar ketika ini.
Katanya, pihak hospital menyatakan suami berada dalam keadaan stabil biarpun masih belum sedar.
"Suami saya masih belum sedar dan menggunakan alat bantuan pernafasan ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Along sebelum ini selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Cyberjaya pada Selasa.
Siti Noraida berkata, suaminya baru sahaja menjalani rawatan dialisis.
Menurutnya, rawatan dialisis terpaksa dilakukan oleh pihak hospital kerana buah pinggang suami terjejas.
"Saya amat berharap agar perkara ini (dialisis) hanya untuk sementara sahaja," ujarnya penuh berharap.
Ditanya mengenai sumbangan orang ramai, katanya, dia sekeluarga menerima banyak sumbangan dan derma daripada orang ramai.
Jelasnya, perkara itu sedikit sebanyak mengurangkan beban dirinya kerana dia tidak bekerja dan hanya suri rumah sepenuh masa dengan menjaga tiga orang anak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!