WASHINGTON - Ketua Agensi Risikan Pusat (CIA), Bill Burns pada Khamis memberi amaran Ukraine bakal tewas dalam peperangan menentang Rusia menjelang akhir tahun ini.
Amaran itu diberikan Burns setelah Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) dijadualkan mengundi untuk meluluskan pakej bantuan berjumlah AS$61 bilion (RM291.7 bilion) buat Kiev yang ditangguhkan selama beberapa bulan.
"Menilai kepada situasi semasa, saya berpendapat rakyat Ukraine mampu bertahan sehingga hujung 2024. Terdapat risiko yang sangat nyata, kemenangan tidak akan berpihak kepada Kiev melainkan Washington menghantar lebih banyak bantuan ketenteraan kepada mereka.
"Tanpa bantuan tambahan, konflik Rusia-Ukraine adalah lebih mengerikan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Poland berjaya memberkas seorang lelaki yang disyaki membantu komplot perkhidmatan risikan Rusia untuk membunuh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.
Media tempatan menamakan suspek sebagai Pawel K dan dia didakwa turut menjadi pemberi maklumat kepada perisik Moscow untuk melaksanakan plot tersebut.
Siasatan awal mendapati individu tersebut juga bersedia untuk bertindak di bawah pihak risikan Kremlin dan berkomunikasi dengan rakyat Rusia yang terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan di Kiev.
Ketua Pendakwa Raya Ukraine, Adriy Kostin berkata, suspek ditugaskan untuk mengumpulkan dan menghantar maklumat kepada Moscow tentang ciri keselamatan di Lapangan Terbang Rzeszow-Jasionka di tenggara Warsaw.
Difahamkan, Zelenskyy sering menggunakan lapangan terbang itu untuk melakukan perjalanan ke luar negara selain digunakan pegawai asing dan konvoi bantuan menuju ke Kiev. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!