Lapan aksi pramusim digunakan untuk uji sistem VAR - Stuart

Iklan
VAR digunakan ketika simulasi perlawanan yang melibatkan penggunaan VAR bagi persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2024 di Stadium UiTM Shah Alam hari ini. Foto Bernama

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) akan menggunakan lapan aksi pramusim bermula Isnin depan hingga 4 Mei ini untuk menguji sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya mahu mengenal pasti masalah dan isu yang bakal timbul ketika sesi ujian berkenaan supaya mereka bersedia dengan penyelesaian apabila sistem itu mula digunakan pada musim 2024-25 membuka tirai pada 10 Mei ini.

Iklan
Iklan

"Tahun pertama selalunya akan ada masalah dan kita akan hadapi dengan hati terbuka serta mencari solusi terbaik untuk Liga-M.

"Diharapkan kita dapat buat persediaan sebaik mungkin, jadi bila masalah timbul kita sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi simulasi VAR kepada pihak berkepentingan seperti komisioner perlawanan, jurulatih dan pegawai pasukan di Stadium UiTM di sini, hari ini.

Iklan
Stuart bercakap pada sidang media tinjauan ke simulasi perlawanan yang melibatkan penggunaan Video Assistant Referee (VAR) bagi persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2024 di Stadium UiTM Shah Alam hari ini. Foto Bernama

Namun, keputusan pelaksanaan VAR musim ini bergantung kepada kelulusan wakil daripada Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang sedang menguji sistem berkenaan bermula Khamis ini hingga Ahad.

Sementara itu, Stuart berkata, MFL merancang menjadualkan maksimum tiga perlawanan untuk satu hari perlawanan, kerana pada masa ini hanya mempunyai empat set VAR.

Iklan

"Jadi kami boleh pastikan satu unit VAR boleh digunakan pada hari-hari tertentu, jika ada perlawanan di Sabah atau Sarawak, satu set tersedia. Di mana-mana sahaja di seluruh dunia apabila melaksanakan sistem VAR, terdapat beberapa hari sistem VAR tidak berfungsi dan mengikut peraturan, perlawanan perlu diteruskan.

"Kita perlu membuat pengumuman untuk memastikan pasukan dan peminat tahu bahawa tiada VAR untuk perlawanan itu,” katanya.

Stuart berharap untuk memiliki sekurang-kurangnya enam set VAR pada musim akan datang, jika faktor kewangan membenarkan.

Ditanya mengenai bajet, beliau berkata setakat ini sekitar RM5 hinga 6 juta telah digunakan untuk VAR, manakala bajet operasi untuk setahun dijangka menelan belanja antara RM3.2 hingga 3.4 juta. - Bernama


Jadual perlawanan ujian VAR:

KL City lwn Negeri Sembilan (22 April) - Stadium Bolasepak Kuala Lumpur

Kelantan Darul Naim lwn Sri Pahang (24 April) - Stadium Sultan Muhammad ke-IV

Perak lwn Kedah Darul Aman (27 April) - Stadium Perak

PDRM lwn KL City (27 April) - Stadium Majlis Perbandaran Selayang

Sri Pahang lwn Terengganu (28 April) - Stadium Majlis Perbandaran Temerloh

Kedah Darul Aman lwn Penang (30 April) - Stadium Darul Aman

Terengganu lwn Kelantan Darul Naim (3 Mei) - Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Penang lwn Perak (4 Mei) - Stadium Bandaraya

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28