SHAH ALAM - Mendengar rintihan kesakitan mangsa serangan ketika dirawat antara perkara biasa yang terpaksa dilalui oleh petugas perubatan di Gaza kerana bekalan ubat tahan sakit yang terhad.
Menceritakan kisah itu, Pakar Perunding Anestesiologi, Sukarelawan EMT Mercy Malaysia, Dr Mafeitzeral Mamat berkata, sejak Israel membuat sekatan, bekalan seperti ubat turut terjejas menyebabkan penggunaan ubat-ubatan terpaksa dicatu.
Menurutnya, ketika bertugas di bumi Gaza itu, penggunaan ubat tahan sakit perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan bekalan bahan itu dapat bertahan dan digunakan oleh mangsa serangan yang benar-benar memerlukan.
"Masa pembedahan lazimnya kita tidurkan mangsa, tapi bila dia bangun sakit yang mereka tanggung memang sukar untuk digambarkan kerana macam mana sekalipun mereka terpaksa tahan sakit itu, jadi kita cuba buat yang terbaik.
"Memang kena dengar mereka (meraung), ada yang tahan, ada yang tidak mereka manusia biasa jadi kita cuba buat seminimum yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu bersama Finaz Yunus dengan tajuk 'Doktor Malaysia saksi kekejaman zionis' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program berkenaan turut menampilkan Pakar Perunding Ortopedik (Subkepakaran Advanced Musculoskeletal Trauma) HTAR Klang, Dr Kamarul Al-Haqq sebagai panelis.
Tambah Mafeitzeral, ubat tahan sakit hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar perlu.
"Opioid adalah ubat tahan sakit yang kuat seperti fentanyl dan morfin,kadang-kadang ada hari tiada langsung ubat tahan sakit jenis ini. Jadi kita terpaksa guna ubat tahan sakit klinik biasa sahaja,” katanya.
Tambahnya, seminggu selepas serangan 7 Oktober tahun lalu, Israel buat sekatan tiada bekalan ubat yang masuk ke Gaza.
"Masa itu bedilan teruk, bekalan ubat dah hampir habis, pembedahan perlu diteruskan jadi kita terpaksa catu ubat-ubatan ini.
"Contoh kita tahu kena tahu berapa operasi pembedahan, rawatan yang perlu dilakukan berapa anestasia perlu dibuat, kita kena catu tapi ubat tahan sakit yang paling diperlukan.
"Apabila mereka terkena bedilan benda pertama kita perlu buat ialah selamatkan nyawa atau menyelamatkan anggota tubuh,” katanya.
Tambah Mafeitzeral, perkara paling sedih ialah bagaimana setiap kali luka mangsa dirawat, kena dibersihkan mereka menangis kerana tidak dapat menahan sakit.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28