HARGA emas global naik melepasi paras tertinggi baharu iaitu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram susulan laporan awal membabitkan serangan Iran ke atas Israel pada hujung minggu lalu.
CIMB Treasury and Markets Research dalam satu nota penyelidikan memaklumkan, peningkatan konflik di Asia Barat menyaksikan harga emas melonjak sebelum menyusut kepada AS$2,350 (RM11,203.60) atau RM360.20 segram.
Selain itu, Pensyarah Kanan Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim menjangkakan emas akan terus menunjukkan trend peningkatan dari semasa ke semasa untuk tempoh yang lama.
Tinjauan Sinar Harian mendapati bahawa pelbagai maklum balas diterima berhubung rakyat Malaysia terutama golongan wanita yang meminati emas akan terus membeli atau sebaliknya.
Ada yang bersetuju untuk terus membeli walaupun harga semakin meningkat atau menjualnya bagi mendapatkan keuntungan yang lebih lumayan.
Masing-masing mempunyai hujah dan pandangan tersendiri dalam soal peningkatan harga emas pada masa kini.
Jual semula lebih berbaloi
Bagi saya, jual semula emas memang lebih berbaloi dengan harganya yang semakin meningkat sekarang.
Lagipun, keadaan ekonomi sekarang memaksa untuk berbuat demikian walaupun harga itu tidaklah sebesar mana.
Bagaimanapun, saya akui bukan mudah untuk membeli barangan kemas jadi memang berfikir banyak kali juga untuk menjualnya semula.
Namun, jika dalam keadaan terdesak terutama misalnya ingin membeli keperluan sekolah anak-anak atau sangat memerlukan wang tambahan, memang saya pilih untuk menjual di kedai yang menawarkan kadar jual beli lebih tinggi.
Wang hasil jualan emas boleh sedikit sebanyak menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, sebaiknya jual separuh atau suku sahaja daripada barangan kemas dimiliki jika benar-benar memerlukan wang.
- Pekerja swasta, Ayeesha Ahmad, 39
Jadikan wang diterima modal pusingan
Saya memilih untuk menjual emas susulan peningkatan harga yang agak menguntungkan.
Sebagai contoh, kalau dulu segram hanya RM230, tetapi sekarang sekiranya dijual dengan harga RM300 memang berbaloi dan selebihnya boleh buat modal pusingan yang diperlukan.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada harga emas terkini kerana untuk menjual emas memang akan ada penolakan barang terpakai sebanyak 20 peratus daripada pihak pembeli.
Selain itu, bagi mereka yang ada modal lebih, mungkin berbaloi beli emas sekarang kerana harganya akan semakin meningkat.
Saya pasti harga emas akan terus meningkat kerana memang tiada harga barang yang menurun ketika ini.
Dengarnya harga emas mungkin akan meningkat lagi, jadi ini mungkin menjadi musim-musim menjual emas dengan pulangan yang lebih besar dan berbaloi.
Ada sesetengah orang, beli emas untuk kepuasan diri, tambahan pula barangan kemas kini reka bentuknya terkini dan menarik.
- Peniaga, Wazila Yusop, 39
Beli sekarang sebagai aset, pelaburan
Saya berpandangan, harga emas memang akan sentiasa meningkat, jadi lebih baik untuk terus mengumpul wang dan membelinya sebagai simpanan.
Lagipun, sekiranya orang ramai ingin mendapatkan harga emas bawah RM350 segram seperti dua atau tiga tahun lalu memang sudah tiada sekarang, melainkan secara ansuran.
Namun bagi saya, pembelian secara ansuran bulanan pula menambahkan lagi komitmen dan membebankan.
Selain itu, emas boleh dijadikan sebagai pelaburan pada hadapan kerana harganya semakin meningkat.
Sekiranya ada masa yang sangat memerlukan wang, kita boleh jual dengan harga yang lebih tinggi dan memperoleh keuntungan lumayan.
Emas tiada susut nilai jadi tiada masalah sekiranya kita membelinya dan disimpan dalam tempoh yang lama.
Saya juga membeli dan menyimpannya untuk anak perempuan yang masih kecil kerana mungkin ia akan digunakan apabila sudah besar nanti.
Lagipun, reka bentuk emas memang tidak lapuk dek zaman kerana memang penggemar atau penyimpan emas tegar hanya memikirkan tentang aset jangka masa panjang.
- Eksekutif pemasaran, Zainur Shahira Zamri, 28
Emas boleh digadai ketika terdesak
Kalau mahu membeli emas sekarang harganya RM364 untuk segram, namun harga beli semula pula, RM322.
Ia bermaksud, pada masa akan datang harga segram emas memang akan meningkat dan penurunan harga tidak begitu ketara.
Bagaimanapun, sekiranya suatu hari nanti saya terdesak memerlukan wang untuk membayar keperluan bulanan atau berkahwin, saya boleh gadaikan dahulu untuk mendapatkan wang segera.
Lagipun, saya akan mencari kedai-kedai emas yang bayaran upahnya lebih berbaloi sebagai contoh harga emas RM364 tidak termasuk upah, tetapi ada kedai yang harganya RM370 termasuk upah.Sememangnya dari dahulu lagi saya suka beli cincin emas kerana apabila harga meningkat, saya boleh jual balik emas-emas ini dan tambah sedikit untuk beli barangan kemas yang lain.
Dahulu, ada orang-orang tua beritahu saya, kalau mahu tahu sama ada harga emas murah atau tidak, kita perlu tunggu selepas dua tahun nanti kerana ketika itu baru tahu harganya murah atau sebaliknya.Saya akan membeli emas sedikit demi sedikit untuk menjadikan emas itu sebagai aset pada masa hadapan.
Lagipun, harganya semakin tinggi, kalau tak beli sekarang mungkin nanti boleh cecah RM500 segram.
- Guru, Ros Anis Nabila Jamaludin, 27