Saingan musim 2024: KDA FC, TFC belum muktamad pemain utama

Iklan
Aksi Kejohanan Empat Penjuru menentang TFC di SSMZA, Kuala Nerus pada malam Jumaat menyaksikan KDA FC dan TFC mengikat keputusan seri satu sama. Foto Facebook Terengganu FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC belum memuktamadkan kesebelasan utama pemain yang akan dipertaruhkan untuk menghadapi cabaran Liga Super dan kejohanan yang akan disertai skuad Sang Kenari itu pada musim ini.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, keadaan itu disebabkan masih terdapat beberapa perlawanan persahabatan yang akan berlangsung sebelum Liga Super membuka tirainya 11 Mei depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masih terlalu awal untuk beliau menentukan barisan tersebut memandangkan semua pemain masih mempunyai peluang sama rata untuk membuktikan keupayaan dan merebut tempat dalam skuad berkenaan.

"Terlalu awal, tidak ada siapa yang pasti lagi. Setiap posisi kita ada dua persaingan yang baik. Kita juga masih ada lima atau enam perlawanan pra musim sebelum liga bermula.

Iklan

"Kebanyakan pemain import juga masih membina keserasian dan mencari kombinasi terbaik. Kita cuba sana sini untuk membina keserasian dan bentuk pasukan yang mantap musim ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perlawanan Kejohanan Empat Penjuru menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini, malam Jumaat yang menyaksikan KDA FC dan TFC mengikat keputusan seri satu sama.

Iklan

Sementara itu, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner turut mengakui situasi sama terhadap skuad bimbingannya, namun menyatakan terdapat beberapa nama yang sudah hampir pasti mengisi tempat utama skuad berkenaan.

Ujar jurulatih kelahiran Croatia itu, beliau masih tercari-cari kombinasi terbaik untuk membina barisan kesebelasan utama yang ampuh dan kuat bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) yang panjang musim ini.

"Ivan (Ivan Mamut) dan Azam Azmi mungkin. Ubai (Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili) dan Safwan (Safwan Mazlan) juga pemain yang sangat penting.

"Safawi (Muhamad Safawi Rasid) dan Akhyar (Akhyar Rashid) saya lihat mereka sudah ada pengalaman. Lebih banyak bermain dengan bola dan mencipta lebih banyak situasi. Sudah tentu saya menjangkakan mereka boleh bermain dengan baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!