KUALA LUMPUR - Anak bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar memberitahu, bapanya meletakkan kerjaya yang melibatkan keselamatan rakyat serta negara sebagai perkara paling utama ketika hayatnya.
Kapten Abdul Rahmat Omar berkata, Allahyarham pernah bertanya kepadanya dan adik-beradik yang lain sama ada beliau terlalu mengutamakan tugas sehingga mengabaikan masa bersama mereka.
"Pendek kata hal negara memang nombor satu, baru keluarga. Arwah ayah juga pernah tanya dengan kami adakah dia abaikan masa dengan anak-anak. Soalan ini diajukan selepas arwah sudah bersara.
"Ini kerana ketika menggalas tanggungjawab sebagai KPN, arwah sangat sibuk menjalankan tugas di lapangan,” katanya sebak ketika ditemui Astro AWANI di Masjid Negara pada Sabtu.
Menceritakan lanjut, katanya, mereka memahami tanggungjawab besar dipikul Allahyarham ketika itu.
Beliau berkata, Allahyarham juga berpesan sekiranya dijemput Illahi, beliau tidak mahu diberi penghargaan secara besar-besaran.
"Itu pesanan yang saya masih ingat. Arwah bukan seorang individu yang mementingkan hal-hal begini.
"Tetapi sekiranya pihak kerajaan mahu memberi penghargaan, kami terima dengan hati terbuka,” katanya.
Solat jenazah akan dilakukan di Masjid Negara sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan hari ini.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!