Sultan Nazrin berkenan berangkat rumah terbuka MB Perak

Iklan
Sultan Nazrin bersama Tuanku Zara berkenan berangkat ke Jamuan Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di KKTM Lenggong pada Sabtu.

LENGGONG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Jamuan Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di sini pada Sabtu.

Keberangkatan tiba baginda yang berpakaian batik berwarna merah kira-kira jam 12 tengah hari itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Orang ramai mengambil peluang berswafoto bersama Tuanku Zara sempena Jamuan Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di KKTM Lenggong pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, pembesar-pembesar negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan agensi negeri dan persekutuan.

Kehadiran Sultan Nazrin memberi keceriaan dan kegembiraan kepada orang ramai yang menunggu untuk bersalaman dan berswafoto bersama.

Iklan

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ke ruangan santapan untuk bersantap bersama tetamu yang hadir.

Rumah terbuka yang dihadiri lebih 10,000 rakyat berbilang kaum itu berlangsung dalam suasana meriah dengan orang ramai mula berkumpul di pekarangan KKTM seawal jam 10 pagi.

Iklan

Lebih 20 reruai makanan dan minuman disediakan untuk pengunjung antaranya lemang dan rendang, laksa, mihun sup, apam lenggang, puri, kuetiau goreng, laici kang dan cendol.

Sultan Nazrin berkenan bersalaman dengan pengunjung yang hadir sempena Jamuan Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong pada Sabtu.

Tinjauan mendapati, kebanyakan tetamu hadir bersama keluarga dan ada antara mereka turut memakai pakaian sedondon bagi menceriakan suasana majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan.

Saarani dalam sembah ucapannya berkata, Aidilfitri tidak sekadar suatu sambutan keagamaan, tetapi peristiwa yang menyatukan pelbagai budaya dan tradisi rakyat berbilang kaum dengan semangat kebersamaan.

Menurutnya, kekuatan itulah yang menjadi benteng dalam mempertahankan keamanan dan keharmonian negara termasuklah di bumi Perak yang sentiasa tegar bergandingan, menyuburkan semangat kekitaan dan menepis budaya perpecahan.

"Bukan sahaja di Kota Tampan, Lenggong ini, bahkan rakyat merentasi garisan kaum, budaya dan agama di serata pelosok negara memaknakan ketibaan Aidilfitri dengan menghidupkan tradisi rumah terbuka, amalan ziarah menziarahi keluarga dan rakan taulan.

"Pendekatan ini sekali gus menyerlahkan semangat toleransi dan hormat menghormati yang selama ini menjadi tunjang kekuatan rakyat Malaysia," katanya.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya berangkat meninggalkan majlis tersebut selepas meluangkan masa kira-kira satu jam.

Sebelum berangkat, baginda berdua berkenan meluangkan masa sekitar 10 minit melawat reruai makanan dan minuman dan beramah-mesra bersama pengunjung yang hadir.

Kesudian baginda mencemar duli ternyata memberi keceriaan dan kegembiraan kepada orang ramai yang menunggu untuk bersalaman dan berswafoto bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!