TPM, menteri ucap takziah kepada keluarga Tun Hanif Omar

Iklan
Saifuddin Nasution menyifatkan jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara adalah sangat besar dan sungguh bernilai.

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri dan menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia awal pagi Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya.

Mohammed Hanif yang merupakan Ketua Polis Negara keempat menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun pada jam 2.15 pagi di kediamannya di Shah Alam, Selangor akibat sakit buah pinggang.

Iklan

Allahyarham merupakan individu paling lama menjawat jawatan tertinggi pasukan Sang Saka Biru itu, iaitu dari Jun 1974 hingga Januari 1994 selepas dilantik pada usia 35 tahun, yang menyaksikan beliau individu paling muda mengetuai pasukan itu.

Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara adalah sangat besar dan sungguh bernilai.

Iklan

"Marilah kita sama-sama doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa, diterima amalan dan ditempatkan di syurga bersama-sama orang yang beriman," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian Mohammed Hanif menerusi ciapan di platform X hari ini.

"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” kata Fahmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu juga antara yang memuat naik hantaran di akaun Facebook bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mereka mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang beriman dan beramal soleh.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi ciapan di platform X mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, selain turut berkongsi jasa Mohammed Hanif terhadap organisasi terlibat.

"Allahyarham pernah menjawat jawatan-jawatan penting dalam liputan sejarah negara. Antara jawatan penting yang dipegang Allahyarham adalah Ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang merupakan asas kepada penubuhan MKN pada 1969," menurut ciapan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!