SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Misi peserta Kayuhan Kembara Berbasikal ke Makkah sudah selesai apabila mereka kini berada di Masjid Nabawi.
Salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai misi itu, Ahmad Mohd Isa, 35, berkata, mereka mengambil masa selama 150 hari iaitu lima bulan untuk sampai ke destinasi.
"Genap 150 hari (5 bulan) kembara berbasikal dari Malaysia ke Mekah. Alhamdulillah syukur pada ALLAH, kami kini di Masjid Nabawi.
"Dengan ini, saya mengumumkan misi untuk ke Tanah Suci ikut jalan darat selesai. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada keluarga, sahabat, warga tempatan, pembeli buku Ustazah Basikal serta penyumbang kerana menjadi penyokong dan membantu kami," katanya pada Sabtu.
Terdahulu, empat rakyat Malaysia iaitu Ahmad; isterinya, Noradilah Mohd Sapie, 36, bersama bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Che Saad Nordin, 73, dan kakitangan FRIM, Abdul Halim Talha, 56, memulakan kayuhan basikal untuk menuju ke Tanah Suci, Makkah bagi menunaikan ibadat haji yang membabitkan perjalanan sejauh 12,000 kilometer (km).
Perjalanan mereka melalui jalan darat yang memakan masa tujuh bulan itu akan merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tambah Ahmad, mereka sekarang hanya memberi fokus kepada ibadah hingga habis musim haji nanti.
"Saya akan mula perlahankan hantaran atau tidak buat hantaran hingga kami pulang ke Malaysia. Terima kasih sekali lagi buat semua, nama anda sentiasa dalam doa kami di Madinah dan Makkah, Insya-ALLAH.
"Hanya ALLAH sahaja mampu balas kebaikan kalian.Saya doakan kalian semua diampunkan segala dosa dan dimasukkan ke syurga Firdaus tanpa hisab," jelasnya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!