SEOUL - Korea Utara melakukan ujian kuasa 'muncung perang luar biasa besar' untuk peluru berpandu krus strategik dan mengadakan ujian tembakan peluru berpandu antipesawat baharu minggu ini, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik media kerajaan Korea Utara, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Sabtu.
Pentadbiran Misil itu melakukan ujian muncung perang yang direka bentuk untuk peluru berpandu krus strategik 'Hwasal-1 Ra-3' dan melancarkan peluru berpandu antipesawat baharunya 'Pyoljji-1-2,' di Laut Kuning pada Jumaat.
Ini adalah kali pertama Pyongyang menamakan sebuah misilnya 'Pyoljji' yang bermaksud meteor dalam bahasa Korea.
Pada hari sama tentera Korea Selatan melaporkan ia mengesan pelancaran beberapa peluru berpandu krus dan peluru berpandu antipesawat yang disasarkan ke arah Laut Kuning sekitar pukul 3.30 petang. Mereka sedang menganalisis spesifikasinya dengan terperinci.
"Tentera kami sedang memantau rapat isyarat provokasi dan aktiviti ketenteraan Korea Utara sambil mengekalkan sebuah postur pertahanan yang teguh,” kata Ketua Turus Bersama.
Sebelum itu pada 3 Februari, Korea Utara mengumumkan ia telah melaksanakan apa yang dipanggil 'ujian kuasa muncung perang luar biasa besar' dan ujian tembakan peluru berpandu antipesawat di Laut Kuning.
Pentadbiran Misil Utara tidak memberikan nama spesifik senjata itu atau keputusan ujian pelancarannya. - Bernama-Yonhap
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!