MACHANG - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu tidak pernah terfikir beberapa kelakuan tidak diduga anak sulungnya, Allahyarham Muhamad Fahmi Adlan Mohd Fauzul Azli, 17, sejak Ramadan lalu merupakan petanda mahu meninggalkan keluarga.
Allahyarham Muhamad Fahmi Adlan ditemui lemas di Sungai Mata Ayer, lebih lima kilometer dari rumahnya di Kampung Mulong, Pulai Chondong di sini.
Siti Fairuz Aziz, 35, berkata, antara kelakuan akhir yang tidak akan dilupakan ialah kesungguhan Allahyarham membeli tepung goreng segera melalui satu aplikasi untuk menggoreng ayam.
"Dia menikmati gorengan ayam itu tiga hari berturut-turut sehingga Khamis (kelmarin) selepas meminta ibu saudaranya menyediakan menu itu," katanya.
"Kami semua perasan kelakuan Muhamad Fahmi tetapi masing-masing tidak menegur kerana seharian dia hanya mendiamkan diri," katanya.
Ibu kepada tiga anak itu juga tidak menyangka pembelian baju-T putih menjadi petanda anaknya akan 'pergi'.
"Sudah tiga tahun berturut-turut dia membeli baju-T putih untuk hari raya dan katanya tahun ini mahu membeli banyak baju kerana tidak tahu bila boleh membelinya lagi.
"Bagaimanapun, baju itu tidak pernah dipakai dan disimpan dalam almari," katanya.
Menceritakan kejadian lemas yang menimpa Muhamad Fahmi, Siti Fairuz memberitahu, kira-kira jam 10.30 pagi anaknya keluar rumah dengan menunggang motosikal dan tidak memaklumkan kepada keluarga lokasi yang hendak dituju.
"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada seorang rakannya pada jam 1.15 tengah hari memaklumkan dia hilang di sungai dan belum ditemui sebelum kami semua bergegas ke lokasi," katanya.
Bagaimanapun, tambah Siti Fairuz, anaknya ditemukan lemas oleh penduduk kampung dan berusaha menaikkannya ke darat menggunakan sauh seorang pemilik bot.
"Saya diberitahu, arwah tenggelam di kedalaman 30 meter di dasar sungai," katanya.
Siti Fairuz dan keluarga reda dengan pemergian Muhamad Fahmi yang sebelum ini banyak menceriakan kehidupan mereka sekeluarga dengan celoteh dan ceritanya setiap hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati ketika sedang mandi, mangsa bersama seorang lagi rakan berenang untuk mengambil baju salah seorang daripada mereka yang hanyut di kawasan dalam.
"Mangsa dan seorang rakannya tiba-tiba tenggelam namun mangsa tidak dapat diselamatkan pada masa itu kerana tidak timbul di permukaan air," katanya.
Jelasnya lagi, rakan mangsa yang lain bergegas meminta pertolongan penduduk kampung dan mangsa berjaya ditemui sepuluh minit kemudian di kawasan itu.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas," ujar beliau.
Jenazah Muhammad Fahmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau jam 1 pagi Sabtu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!