RM80 juta wujudkan Pusat Jantung Negara Sabah - PM

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Sabtu. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan segera RM80 juta bagi mewujudkan Pusat Jantung Negara Sabah sekali gus menjadikan ia pusat rawatan jantung kedua terbesar negara selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan pusat itu berikutan kapasiti perkhidmatan kardiologi di Sabah adalah terbatas sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa mendapatkan rawatan sehingga ke Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Perkhidmatan kardiologi di Hospital Besar Kota Kinabalu (Hospital Queen Elizabeth 2) setakat ini ada klinik pakar, ada makmal kateterisasi invasif dan bukan invasif, ada dewan bedah kardiotorasik, ada tiga pakar dan 120 jururawat terlatih tetapi saya fikir ini tidak mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Perdana Menteri turut menasihati orang ramai supaya menjaga kesihatan dengan makan secara bersederhana, mengurangkan makanan bergula dan berlemak serta melebihkan aktiviti senaman bagi mengelakkan mereka daripada pergi ke pusat jantung untuk mendapatkan rawatan.

Iklan

Menerusi ucapan itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mewujudkan Pusat Kanser Negara Kuching.

Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran ribuan penduduk sejak 8 pagi dan pelbagai makanan serta persembahan turut disajikan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!