HULU TERENGGANU - Seorang penternak terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 apabila enam ekor lembu peliharaannya mati dipercayai dibaham harimau belang.
Abd Muien Shafie, 41, berkata, dia menemukan bangkai haiwan tersebut sekitar jam 10 pagi dalam kejadian di Kampung Kemat, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, ternakannya itu sebelum ini diletakkan di kawasan berpagar elektrik dalam kebun seluas empat hektar di kampung berkenaan dan akan dikawal secara berkala pada setiap hari.
"Pagi ni (Sabtu) macam biasa saya akan ke kebun untuk periksa lapan ekor lembu yang diternak. Saya berasa tak sedap hati sebab hanya nampak dua ekor lembu dan ia seolah-olah takutkan sesuatu.
"Saya pusing dalam kebun macam ada terhidu bau bangkai tapi tak jumpa datang dari mana. Saya kemudian balik ke rumah dan pergi semula ke kebun dalam tengah hari.
"Masa tu barulah jumpa satu demi satu bangkai lembu yang mati," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Sabtu.
Abd Muien berkata, selepas menemukan bangkai tersebut, dia telah meletupkan mercun di dalam kebun berkenaan dan terdengar bunyi ngauman harimau di kawasan itu.
"Saya yakin lembu ini mati dibaham harimau sebab selain menjumpai kesan tapak kaki, saya sendiri dengar dengan jelas bunyi ngauman harimau selepas meletupkan mercun dalam kawasan kebun.
"Sebelum ini pun dah ada penduduk yang nampak tiga ekor harimau belang, seekor anak dua lagi harimau betina dan jantan dewasa dalam kampung ini,"ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan bangkai lembu itu dijumpai dalam keadaan tidak lengkap, namun ada sebahagian daripadanya masih sempurna dengan hanya terdapat kesan gigitan pada bahagian leher dan anggota badan lain.
"Ada yang kena baham di bahagian punggung, kena makan separuh badan, kena gigit bahagian kepala, leher dan beberapa kesan gigitan pada bahagian yang lain.
"Kalau tengok pada kecederaan lembu-lembu ini nampak macam harimau tu cuba ajar anaknya memburu sebab kalau kata ia benar-benar lapar sudah tentu lembu-lembu ini hanya tinggal rangka," ujarnya.
Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah dianggarkan sebanyak 20 ekor lembu peliharaan penduduk di kampung berkenaan telah mati akibat dibaham harimau.
"Sebelum lembu saya mati, ada dua kes melibatkan haiwan ternakan yang sama berlaku sebelum bulan puasa dan ketika bulan puasa baru-baru ini.
"Beberapa aduan telah dibuat namun setakat ini belum ada tindakan berkesan yang diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Ada anggota Perhilitan yang datang membuat pemantauan tetapi kita lihat belum ada kesan positif lagi," katanya.
Abd Muien memberitahu, kes serangan haiwan buas terhadap ternakan penduduk dipercayai berlaku selepas aktiviti pembalakan giat dijalankan di kampung berkenaan.
"Sebelum ada aktiviti pembalakan di kampung ini, tak ada sangat kejadian haiwan liar di kampung ini. Kita dapati haiwan-haiwan ini muncul selepas berlaku pembalakan di kawasan-kawasan hutan yang menjadi habitatnya.
"Hari ini pun ada penduduk kampung ini yang terserempak dengan dua ekor gajah (ibu dan anak) ketika mahu ke kebun. Kami penduduk di sini yakin haiwan-haiwan ini muncul dalam kawasan penempatan penduduk kerana tempat tinggal mereka telah diganggu," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!