TUNKU Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama gandingannya Jordan Love meraih tempat ke-10 pada perlumbaan pertama GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.
Berlumba pada litar basah selepas hujan lebat, Tunku Abu Bakar dan Love bersama pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) dengan memandu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO mencatat masa satu jam dua minit 42 saat (s) selepas 26 pusingan.
Tunku Abu Bakar berkata, perubahan cuaca menjadi cabaran yang dihadapi ketika perlumbaan hari ini.
"Perlu menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah merupakan satu yang sukar. Kami fokus kepada perlumbaan dan akan cuba sedaya upaya mendapatkan keputusan terbaik,” katanya.
Tempat pertama disambar pasukan FAW Audi Sport Asia Racing Team diwakili Cheng Franky Congfu dan gandingannya Fong Adderly (1:01.54s) meninggalkan skuad VSR (1:01:56.621s) yang dipandu Ye Bian dan Edoardo Liberati di tempat kedua.
Tempat ketiga dimenangi pasukan Origine Motorsport (1:01:58.877s) yang diwakili Yuan Bo dan Ye Leo Hongli.
Pada perlumbaan kelayakan pertama sebelum itu, pasukan Triple Eight JMR lolos menduduki tempat kelima dengan catatan masa 2:04.355s manakala pusingan kelayakan kedua berada di kedudukan ketujuh dengan catatatan 2:03.28s untuk mara ke perlumbaan pertama.
Sebelum itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke SIC untuk menyaksikan puteranya Tunku Abu Bakar beraksi pada perlumbaan berprestij itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!