'Tak perlu menyelam ke dasar laut untuk tengok ikan'

Iklan
Pusat Ikan Hiasan Port Dickson yang terletak di Teluk Kemang menarik lebih 260,000 pengunjung pada 2023.

PORT DICKSON - Mula dibuka kepada umum pada 2016, Pusat Ikan Hiasan Port Dickson di Teluk Kemang di sini memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara dekat lebih 500 spesies hidupan marin.

Terletak di Batu 7, Jalan Pantai, Teluk Kemang, lokasi tersebut dibuka setiap hari kepada orang ramai tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Iklan
Iklan
Ikan inggu antara spesies hidupan marin yang menjadi tarikan pengunjung.

Sudah pasti ia sangat sesuai untuk ibu bapa yang mencari percutian bajet tetapi mampu memberi keseronokan, sekali gus menambah ilmu buat anak mereka.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, premis tersebut merupakan pusat jagaan hidupan laut di bawah kerajaan yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan.

Iklan

"Pada 2013, kita tukar tempat ini menjadi pusat ikan hiasan marin bersesuaian dengan sumber laut Port Dickson,” katanya kepada Sinar Ahad.

Penyu karah antara hidupan marin yang boleh dilihat oleh pengunjung.

Menurutnya, pengunjung yang datang ke pusat berkenaan berpeluang melihat lebih 500 spesies ikan hiasan marin, 100 jenis batu karang dan pelbagai spesies lain tanpa perlu menyelam ke dasar laut.

Iklan

Siew Leen berkata, spesies yang menjadi tarikan utama pusat berkenaan ialah ikan inggu atau clownfish yang menjadi kesukaan kanak-kanak sebagaimana dipaparkan dalam filem animasi Finding Nemo.

Pengunjung teruja melihat pelbagai jenis hidupan marin yang dipamerkan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson.

"Sebahagian ikan ini kita dapat daripada nelayan tempatan yang menemuinya di perairan Port Dickson. Ada yang diternak sendiri dan ada juga yang dibeli,” katanya.

Jelas beliau, tarikan lain yang turut terdapat di pusat berkenaan ialah konservasi penyu karah dan agar.

"Tahun lalu sebanyak 2,300 telur telah ditetaskan dan 2,200 anak penyu telah dilepaskan. Ada juga yang diletakkan di pusat ikan hiasan ini bagi tujuan konservasi dan pendidikan.

Ikan Albino Grouper (kiri), ikan kerapu albino yang dipamerkan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson.

"Biasanya kita hanya dapat tengok penyu di pantai tetapi di sini kita boleh tengok penyu pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Siew Leen, pusat itu merupakan antara produk agropelancongan Port Dickson yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ikan inggu kesukaan kanak-kanak

Jelasnya, kehadiran pengunjung menunjukkan peningkatan ketara pada 2022 iaitu seramai 265,565 orang, manakala 2023 seramai 263,467 orang.

"Pengunjung bukan sahaja datang dari Negeri Sembilan tetapi seluruh Malaysia, manakala kehadiran pelancong luar negara pula kira-kira 3,000 orang setahun.

"Oleh itu kita sasarkan seramai 280,000 orang tahun ini. Jadi, kalau datang ke Port Dickson, jangan lupa singgah ke sini,” katanya.

-- INFO

Masuk percuma

Dibuka setiap hari

Terletak di Teluk Kemang

- Tarikan utama

500 spesies ikan marin

100 jenis batu karang

Penyu karah dan agar

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!