JAKARTA - Sebuah rakaman video pertunangan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Indonesia menjadi tular di media sosial.
Majlis bertunang itu turut menerima pelbagai reaksi warganet malah ada yang terkejut memandangkan dia masih budak.
"Ada yang berasa pelik, namun ia adalah perkara biasa di Madura," kata seorang pengguna media sosial.
Pemilik akaun @asiyah juga cuba berseloroh apabila menyatakan ada ibu bapa yang sudah menjodohkan anak mereka sejak masih dalam kandungan.
Klip tersebut yang dikongsi di TikTok jelas menunjukkan kanak-kanak itu yang memakai persalinan berwarna hijau hanya mendiamkan diri dan bersalaman dengan para tetamu ketika peristiwa unik di Desa Banjar Tabuluh, Kecamatan Camplong, Madura, Jawa Timur.
Dia turut diberikan sebentuk cincin dan gelang emas.
Menurut ibu bapanya, majlis pertunangan itu merupakan nazar mereka ketika di Arab Saudi.
Pemilik akaun @massaki90 menjelaskan budak itu hanya akan melangsungkan perkahwinan selepas tamat pengajian di kolej.
Setelah video itu mendapat perhatian banyak pihak, keluarganya turut didatangi wakil Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) provinsi Jawa Timur dan pemerintah daerah Kabupaten Sampang untuk memberi peringatan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!