Persediaan dua tahun lebih awal, PKR pastikan Anwar kekal sebagai PM

Iklan
Rafizi. Foto Astro Awani

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat persediaan dua tahun lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16, seterusnya memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, bagi tujuan itu, dua kerangka baharu dilancarkan iaitu Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) bersempena dengan ulang tahun ke-25 PKR dan Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16) bagi menghadapi PRU16.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua kerangka berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan kembali kekuatan daripada akar umbi sehingga ke atas untuk mencipta kekuatan baharu PKR dalam menghadapi pilihan raya.

"Selepas pelancaran, seluruh kepimpinan dan kekuatan parti akan digerakkan untuk turun ke negeri-negeri secara berkala, kemudian kita akan ke cabang-cabang, menandakan persediaan untuk menghadapi PRU16 bermula hari ini (Ahad).

Iklan

"Ia akan disertai dengan sasaran yang lengkap dan metrik yang jelas.

"Kita berharap persiapan yang dibuat dua tahun lebih awal ini akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Iklan

Tambah Rafizi, dalam tempoh 15 bulan yang lepas, sebahagian besar tumpuan dan masa pimpinan parti adalah kepada kerajaan, namun ia tidak bermakna parti dilupakan.

Justeru, beliau memahami ada yang berasa ‘lesu’ dan dipinggirkan apabila kepimpinan turun ke bawah, namun menyatakan ia adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dilalui bersama.

"Bagaimanapun, saya nak maklumkan bahawa siri pilihan raya ke arah PRU16 akan bermula seawal tahun depan, iaitu pada 2025.

"PRU16 paling lama pun sekitar dua tahun setengah sahaja, bergantung kepada keputusan Perdana Menteri.

"Jadi, kita tak ada masa yang panjang, sebab itu konvensyen hari ini berbeza dengan ulang tahun parti yang lain.

"Biasanya kalau sambutan jubli emas dan perak, inilah masa untuk meraikan parti tapi PKR ambil pendekatan berbeza.

"Kita kerah orang ramai dan akar umbi dari bawah.

"Akhir nanti, kita akan edarkan satu senarai kerja yang perlu dibuat bermula dari cabang di seluruh negara,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28