Polis buru lelaki libat kes jururawat pengsan dipercayai dipukul

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

KUALA PILAH - Polis giat memburu lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pukul membabitkan seorang jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, Johol di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, hasil siasatan lanjut dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dari arah Hutan Percha.

Iklan
Iklan

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa mengatakan telah dihimpit oleh sebuah kenderaan menyebabkannya memberhentikan kereta.

"Suspek berusia lewat 30-an dikatakan telah membuka pintu kereta mangsa, menariknya keluar dan menumbuknya di bahagian muka beberapa kali.

Iklan

"Mangsa turut menyatakan telah dipukul dengan objek tumpul di bahagian belakang kepala," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ujarnya, siasatan juga mendapati kejadian itu bukanlah rompakan sebagaimana yang ditularkan memandangkan tiada barang berharga milik mangsa hilang.

Iklan

"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan dan kepala.

"Dia stabil, tiada sebarang kesan kecederaan patah atau parah di mana-mana bahagian anggota badan.

"Polis kini giat mengesan suspek, motif dan punca kejadian sedang dikenal pasti.

"Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini," katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri, tertiarap berhampiran keretanya dengan keadaan enjin masih hidup.

Mangsa berusia 30-an lengkap berpakaian uniform putih itu telah dihantar ke HTAN dan berdasarkan laporan awal siasatan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Durian Tunggal, Melaka selepas selesai bekerja.

Bagaimanapun, pihak polis masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya bagi mengetahui kejadian sebenar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28