Isu buang beras, barangan dapur perlu disiasat - Pas Pahang

Iklan
Aireroshairi (kiri), Laporan Sinar Harian.

KUANTAN - Isu pembuangan ratusan kampit beras dan barangan dapur di laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Temerloh, membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said perlu disiasat walaupun didakwa menggunakan dana sendiri.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan menegaskan rakyat perlukan bukti jelas berhubung dakwaan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya mohon siasat perkara ini. Rakyat perlukan bukti. Laporan polis telah dibuat. Semoga rakyat mendapat pencerahan yang diperlukan," katanya dalam satu hantaran di laman sosial di Facebook miliknya pada Sabtu.

Sebelum ini, tular lambakan barangan keperluan seperti beras, tepung gandum, sardin, bihun ditemui di kawasan terbabit hingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Iklan

Pada Jumaat, Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barangan itu dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.

Menurutnya, barangan keperluan asas antaranya beras, tepung dan sardin yang dibuang itu sudah dicemari kutu dan tidak sesuai diagihkan kepada orang ramai

Iklan

Mengulas lanjut, Aireroshairi berkata, melakukan kesalahan kemudian memohon kemaafan telah menjadi tabiat politik hari ini.

Ujarnya, menormalisasikan maaf setelah berlaku kelakuan tidak amanah tidak boleh diteruskan.

"Politik Malaysia memerlukan nafas baharu. Mereka yang telah terbukti tidak kompeten perlu mengundur diri, beri peluang kepada yang betul-betul ingin memajukan Malaysia. Kes ini menimbulkan banyak tanda tanya," katanya.

Aireroshairi sebelum itu menjelaskan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi tentang isu ini antaranya beras hilang di pasaran secara tiba-tiba dan disusuli kenaikan harga barang sehingga berlaku kes tersebut.

Tambah Aireroshairi, persoalannya, kenapa beras-beras ini boleh berada di tangan individu dalam tempoh yang lama sehingga rosak dalam simpanan?

"Adakah ini kes terpencil atau ia berlaku di lebih banyak kawasan lain? Dikhabarkan beras ini telah dibeli pada 2022 dan tidak diedarkan ketika PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) atas sebab undang-undang pilihan raya.

"Kenapa tidak diagihkan selepas PRU. Adakah ini satu tindakan balas dendam kerana kalah dalam PRU15?," soalnya lagi.

Beliau turut memaklumkan Ismail adalah Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka yang telah dilantik oleh UMNO Pahang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!