KUALA LANGAT - Tindakan seorang lelaki mencuri wang dalam tabung di sebuah surau di Banting membawa padah apabila diberkas pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat seorang lelaki warga tempatan kira-kira jam 4.49 petang.
"Kejadian disedari individu terbabit kira-kira jam 2.15 petang ketika dia berada di sekitar surau berkenaan sebelum terserempak suspek yang dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg sandang.
"Individu itu kemudiannya menegur suspek dan bertanyakan berkaitan beg itu, suspek kemudiannya bertindak memarahinya sebelum melarikan diri ke belakang surau," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, individu berkenaan cuba mengejar suspek sebelum menemui sejumlah wang yang dibuang di belakang surau itu.
"Suspek yang cuba beredar dari surau terbabit kemudiannya berjaya ditahan oleh beberapa individu yang berada di lokasi kejadian.
"Pemeriksaan dijalankan turut menemukan beberapa peralatan dalam beg yang dibawa suspek dipercayai digunakan untuk memecah tabung di surau berkenaan," katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Semakan mendapati suspek yang berumur 43 tahun itu memiliki 11 rekod berkait dadah serta jenayah.
"Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!