KUALA KUBU BAHARU - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan nama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 25 April depan selepas ia dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi parti itu esok (Isnin).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Tertinggi PN akan berbincang dan memilih calon yang paling sesuai atas dasar kebolehmenangan dengan majoriti.
"Kita ada banyak calon sebenarnya dan mana-mana parti (komponen) yang ada cadangan nak kemukakan nama calon kita terima tapi yang penting kita akan nilai.
"Sebaiknya (calon) adalah dari kawasan Hulu Selangor, kerana biasa ada sentimen. Ada yang mahukan calon tempatan dan Melayu. Kita ambil kira dan akan bincang," katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian pada sidang akhbr sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 Bersatu di sini pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Muhyiddin menegaskan, walaupun Kuala Kubu Baharu adalah kawasan DAP dan PN tidak mengetahui siapa calon yang akan dipertaruhkan Kerajaan Perpaduan, tetapi mereka sudah mempunyai strategi untuk memperoleh sokongan majoriti pengundi.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, calon yang disenarai pendek untuk PRK berkenaan nanti perlu melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Katanya, komposisi pengundi di PRK Kuala Kubu Baharu merangkumi 46 peratus Melayu, 30 peratus (Cina), 18 peratus (India) serta Orang Asli dan lain-lain (lima peratus).
Ditanya mengenai hasrat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk bertanding dalam PRK tersebut, Muhyiddin menyifatkan keinginan itu tidak salah.
"Tetapi keputusan muktamad adalah Majlis Tertinggi PN,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, PN juga yakin mampu menang dalam PRK berkenaan walaupun sejak dahulu kawasan itu milik DAP.
"Zaman dahulu dan sekarang sudah banyak berubah (termasuk dari sudut) sentimen dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai kegagalan kerajaan," tambahnya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28