KOTA BHARU - Seorang penternak lembu dan pembantunya terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan mengedar dadah serta memiliki senjata api oleh Mahkamah Tinggi, di sini, pada Ahad.
Hukuman diputuskan Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas terhadap tertuduh pertama, Wan Marzuki Wan Daud, 59, dan tertuduh kedua, Mohd Naim Azmi, 37, pada keputusan di akhir kes pendakwaan.
Mohamad Abazafree dalam keputusan itu mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan memberitahu tidak selamat untuk beliau mengarahkan kedua-dua tertuduh membela diri.
Beliau dalam alasan penghakiman berkata, beberapa isu berbangkit antaranya berkaitan bukti deoksiribonukleik (DNA), kunci rumah dan pemilikan sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah disewa oleh tertuduh pertama.
"Rumah dihuni oleh pekerja tertuduh pertama dan dia hanya datang untuk membayar gaji pekerjanya.
"Kunci untuk mengakses rumah itu bercanggah dengan jumlah kunci yang dirampas dan dikemukakan kepada mahkamah selain kereta didapati milik orang lain menjurus kepada lokasi penemuan dadah serta senjata api itu berkemungkinan boleh diakes oleh orang lain.
"Pelbagai sampel DNA diambil namun tiada keterangan yang menunjukkan bahawa DNA kedua-dua tertuduh ditemukan ke atas dadah-dadah atau senjata api.
"Oleh itu mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengedar 749.5 gram (g) metamphetamine serta 87.8g heroin di sebuah rumah di taman perumahan di Kok Lanas, di sini, jam 12.50 tengah malam, 25 Februari 2019.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Mengikut satu lagi pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa ada dalam milikan iaitu sepucuk pistol jenis Revolver pada jam 12.10 tengah malam di sebuah rumah berbeza di taman perumahan dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan juga disebat minimum enam kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar manakala tertuduh pertama diwakili peguam bela, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil dan J Matthews, manakala tertuduh kedua diwakili Datin Norah Abu Bakar.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28