SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin olehnya masih kukuh dan mantap tanpa sebarang tanda ‘keretakan’.
Beliau berkata, walaupun ada hal yang dirundingkan di luar jemaah menteri, namun belum ada petanda keretakan kecil antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti di Sabah serta Sarawak.
"Yang ada hanya gerombolan-gerombolan ‘desperado’ yang cuba adu domba dan saya beritahu kepada mereka, semoga berjaya dan selamat tinggal. Ia tidak akan berjaya.
"Bagi saya, setakat ini, kerajaan masih mantap dan kukuh, sebab itu kalau tanya pengkritik luar termasuk pembangkang, kerajaan tidak lakukan apa-apa sehingga rakyat sekarang derita.
"Rakyat mana yang derita?” soalnya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa golongan yang derita merupakan kumpulan elit kaya dengan gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk Seri yang merupakan kaki ‘sakau’.
Menurutnya, langkah yang terbaik dalam mengelakkan hal itu berlaku secara berterusan adalah dengan menghentikan amalan menggunakan kuasa untuk merompak dan menyakau harta negara ini.
"Semua ahli Jemaah Menteri dan pimpinan perlu tahu.
"Untuk ini, sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahupun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang memimpin parti tunduk termasuk PH serta semuanya sefahaman dan setuju.
"Andai kata ada dalam kalangan kita melanggar prinsip-prinsip tatakelola dan terjerumus dalam amalan rasuah, mereka dengan sendirinya akan terkeluar dan menghadapi perundangan yang ditetapkan,” ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28