KUALA KUBU BAHARU - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) berpendirian Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) jika benar-benar ikhlas untuk menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika bergelar Perdana Menteri dan mentadbir negara sewaktu pandemik Covid-19 sebelum ini, beliau menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang tanpa sebarang MoU, perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) atau apa-apa perjanjian lain.
"Ia kerana kita tahu ia zaman susah, wakil rakyat bertanggungjawab untuk menolong meringankan bebanan (rakyat)," kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 Bersatu di sini pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Pada Khamis lalu, dilaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mempersoalkan keputusan kerajaan yang dilapor hanya akan ‘mempertimbangkan’ penyaluran peruntukan dan bukan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan terbabit.
"Kabinet (dalam kenyataan menyatakan) bersetuju untuk menimbang (bagi peruntukan), kalau kata bersetuju...itu lain," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, ditanya berhubung jumlah peruntukan yang dimahukan pembangkang, Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.
"Saya tak nak (ulas), saya nak tengok dahulu (bahawa kerajaan bersetuju salur peruntukan sebab) kalau tak jadi (salur) macam mana," kata beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28