Israel terus sekat kemasukan bahan api, gas memasak ke Gaza

Iklan
Kanak-kanak Palestin yang dipindahkan beratur untuk menerima makanan di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza pada Jumaat. Foto AFP

GAZA - Untuk tujuh bulan berturut-turut, Israel terus menghalang kemasukan gas memasak dan bahan api ke Semenanjung Gaza, terutamanya Bandaraya Gaza dan bahagian utaranya, kata Pejabat Penerangan Kerajaan di sini.

Agensi Berita Jordan (Petra) melaporkan pejabat itu dalam satu kenyataan pada Sabtu memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan dan kesihatan yang meruncing berikutan serangan ke atas Gaza dan kebergantungan penduduk kepada sumber alternatif, seperti kayu api, arang dan runtuhan bangunan untuk menghidupkan api, mengakibatkan ratusan penduduk menghadapi masalah pernafasan.

Iklan
Iklan

Ia berkata, ratusan kes masalah pernafasan direkodkan akibat mereka berjam-jam terdedah kepada api yang digunakan untuk memasak dan berdiang yang akan memburukkan lagi krisis dan meningkatkan kes kanser paru-paru dan penyakit berkaitan pernafasan kerana menghidu gas yang berbahaya.

Realiti kemanusiaan, kesihatan dan alam sekitar yang sukar memerlukan campur tangan segera untuk menoktahkan krisis ini dan membawa masuk barangan keperluan asas, yang paling utama ialah gas memasak dan bahan api, kata pejabat itu.

Iklan

Ia menggesa masyarakat antarabangsa dan pihak prihatin supaya memberikan tekanan terhadap Israel untuk segera menangani krisis ini dan membenarkan kemasukan bekalan gas memasak dan bahan api,menurut Petra.

Kenyataan itu menekankan bahawa menyekat akses kepada keperluan barangan asas adalah satu jenayah selain daripada serangan genosid Israel terhadap warga Palestin sejak 7 Oktober. - Bernama/Petra

Iklan

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28