TOKYO - Seorang maut, manakala tujuh lagi dilaporkan masih hilang dalam nahas udara yang membabitkan dua helikopter pasukan pertahanan Jepun di luar Kepulauan Izu, Lautan Pasifik.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) mengesahkan kejadian lewat Sabtu malam itu kepada agensi berita AFP dan berkata, seorang telah diselamatkan.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Menurut Menteri Pertahanan, Minoru Kihara, penyelamat ternampak sebahagian serpihan di laut yang dipercayai daripada helikopter terlibat.
"Pada ketika ini, punca kejadian tidak diketahui, tetapi pertama sekali kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa semua mangsa,” kata Kihara kepada pemberita.
Mengikut laporan badan penyiaran NHK, helikopter itu melakukan latihan untuk menentang kapal selam pada waktu malam dan ia dipercayai terhempas semasa latihan di luar Kepulauan Izu.
Komunikasi dengan salah satu helikopter terputus pada pukul 10:38 malam (waktu tempatan) di luar Pulau Torishima.
Seminit kemudian, isyarat kecemasan diterima daripada pesawat itu, dan 25 minit kemudian iaitu kira-kira pukul 11:04 malam (waktu tempatan), pihak tentera menyedari komunikasi sebuah helikopter lain juga terputus di kawasan sama, lapor NHK.
Helikopter Mitsubishi SH-60K daripada Pasukan Pertahanan Diri Maritim (MSDF) kebanyakannya berpangkalan dan beroperasi dari kapal pemusnah tentera laut.
Menurut MSDF, memandangkan tiada pesawat atau kapal lain di perairan berhampiran, pihaknya percaya tiada penglibatan dari negara lain dalam insiden itu.
Pada Januari 2022, sebuah jet pejuang Jepun terhempas di perairan wilayah Ishikawa tengah, membunuh dua juruterbang.
Pada 2019, sebuah jet siluman F-35A terhempas ke dalam laut selepas berlepas dari timur laut Jepun dalam misi latihan. – AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28