SIK - Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan yang dipandu terjunam ke dalam gaung dan terbakar di Jalan Bukit Sebelah, di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, lelaki berusia 36 tahun itu bagaimanapun sempat keluar menyelamatkan diri serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.53 pagi dan sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Soffuan Sabry tiba di lokasi bersama tujuh anggota.
"Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah memadam kebakaran hingga api dipadam sepenuhnya di lokasi kejadian,"katanya.
Difahamkan, berdasarkan maklumat mangsa, kejadian berlaku apabila dia sedang memandu dan nampak dengan jelas laluan itu yang dikatakan jalan lurus sedangkan ianya adalah kawasan selekoh.
Zulkhairi berkata, kemusnahan kereta mangsa mencecah kira-kira 90 peratus terbakar.
Beliau berkata, kes diserahkan kepada pihak polis dan Unit Foreksik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bagi siasatan lanjut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28