KUBANG PASU - Lima buah kelas di Sekolah Kebangsaan Felda Laka Selatan di sini terbakar dalam kejadian pada petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Zulkifli Manaf berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan pada jam 3.09 petang melalui talian MERS 999 berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, jentera bomba termasuk EMRS dari BBP Bukit Kayu Hitam diarahkan ke lokasi kejadian dengan segera selain memohon bantuan daripada BBP Arau.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat kerana ketika kejadian murid-murid telah pulang ke rumah dan kebakaran hanya disedari oleh pengawal keselamatan.
"Peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 70 peratus dengan melibatkan lima buah kelas yang keseluruhannya berkeluasan 300x50 kaki persegi.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.40 petang dan pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran terbabit," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28