Sedih lihat rezeki dicampak ke tempat buang sampah

Iklan
Lambakan beras yang dibuang di tapak pembuangan sampah tular pada Khamis. Gambar kanan: Tepung gandum turut ditemui di tapak pelupusan sampah.

PENEMUAN beras dan barangan keperluan asas iaitu tepung, sardin dan bihun yang dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang pada Jumaat lalu terus menjadi polemik.

Ketika rakyat disuruh berjimat cermat mendepani ekonomi tidak menentu, malah ada yang terpaksa mengikat perut, perbuatan membuang rezeki itu sudah tentu menimbulkan kemarahan ramai.

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said tidak mengambil masa yang lama untuk mengakui bertanggungjawab dan memohon maaf.

Mungkin kerana terdapat satu karung beg tertera nama beliau ditemui di sebalik timbunan barang makanan yang dibuang itu.

Iklan

Ismail menjelaskan, barangan tersebut adalah peruntukan sendiri, tidak menggunakan wang kerajaan negeri atau Pusat, namun tidak boleh diagihkan kepada orang ramai kerana sudah luput dan rosak.

Di satu sudut, beliau mengambil tindakan tepat kerana mengambil kira kesihatan orang ramai.

Iklan

Cuma persoalannya, bagaimana barangan keperluan asas terutama beras boleh berada dalam tempoh lama di tangan seorang individu.

Ini adalah isu besar yang perlu diambil perhatian sewajarnya. Beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia sebelum ini menjadi polemik apabila ‘hilang’ di pasaran, dalam masa sama barangan keperluan dapur naik harga sehingga mengundang resah rakyat.

Tapi, dalam saat rakyat Malaysia diuji dengan dua masalah tersebut, rupa-rupanya tersorok bekalan makanan di stor simpanan yang sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh ramai orang.

Setakat ini, Kawalselia Padi dan Besar (KPB) sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana pelupusan beras tanpa prosedur ditetapkan.

Jika didapati bersalah, pihak berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, beras berkenaan dibeli pada tahun 2022 tapi tidak diedarkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas sebab undang-undang pilihan raya.

PRU15 sudah berlalu kira-kira setahun lima bulan. Sepatutnya dalam tempoh yang lama itu, barangan keperluan tersebut boleh diagihkan kepada mereka yang memerlukan sebelum luput.

Takkanlah apabila tewas PRU15, rakyat sudah tidak ada nilai lagi di mata pemimpin berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28