Mahu hasilkan ʻgajah terbangʼ

Iklan
Haznie menunjukkan antara kapal terbang RC yang diciptanya.

JOHOR BAHRU - Bermula dengan hanya minat menonton video penciptaan kapal terbang kawalan jauh (RC) dalam YouTube kira-kira 10 tahun lalu, Haznie Abd Hamid, 48, kemudian berjinak-jinak menceburi bidang inovasi dan akhirnya berjaya menghasilkan ciptaan sendiri.

Itu permulaan dan pengalaman yang dilalui pengasas syarikat Haznie RC Craft Enterprise yang kini sudah berjaya mencipta lebih 100 kapal terbang RC.

Iklan
Iklan

"Kapal terbang RC yang saya cipta antaranya dinamakan sebagai Debab A4 Skyhawk, Debab Tom Cat, Fatty Flying Ship, Debab Sukhoi dan Debab Macross.

Haznie menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya selepas kira-kira 10 tahun menceburi bidang inovasi dan berjaya menghasilkan ciptaan sendiri kapal terbang RC.

"Berat setiap kapal terbang RC yang dihasilkan adalah antara 300 gram hingga dua kilogram. Setiap kapal terbang RC dijual harga antara RM120 hingga RM2,500.

Iklan

"Ciptaan baharu saya adalah VTOL FlyingShip yang mampu bergerak di permukaan air sebagai kapal selam mampu terbang di udara dan ia menarik perhatian seorang pembeli di Dubai,” katanya ketika ditemui.

Haznie berkata, produknya ketika ini mendapat sambutan penduduk tempatan, pelancong Singapura mahupun syarikat swasta di Jepun dan Amerika Syarikat.

Iklan

Beliau memberitahu mampu menghasilkan sebuah kapal terbang RC dalam tempoh kurang 24 jam.

Tidak putus asa

Menceritakan pengalamannya sehingga sudah dikenali pada hari ini, Haznie berkata, pencapaian yang diperolehnya bukan mudah atau ‘datang bergolek’.

"Saya hampir putus asa apabila hampir 30 kapal terbang RC yang dicipta gagal berfungsi dengan baik pada peringkat permulaan. Bagi mencipta setiap kapal terbang RC saya membelanjakan RM50.

"Pada awalnya kebanyakan ciptaan sering terputus isyarat sehingga jatuh serta mudah rapuh. Namun bekat kesabaran, hasil dorongan rakan dan ahli keluarga, saya menyahut cabaran serta membaiki ciptaan sehingga berjaya,” katanya.

Beliau bersyukur kerana anak seniman veteran, Mat Sentul yang lebih berpengalaman membantu dan berkongsi ilmu dengannya termasuk mengatur serta memastikan kapal terbang RC berfungsi dengan baik.

Antara produk kapal terbang RC dihasilkan Haznie yang dijual pada harga antara RM120 hingga RM2,500

"Malah menerusi ilmu diperoleh secara dalam talian, saya memahami konsep mencipta kapal terbang termasuk bahan digunakan yang seharusnya ringan, kalis air dan penggunaan alat kawalan jauh yang berkualiti,” ujarnya.

Sebelum berkecimpung dalam penciptaan kapal terbang RC secara sepenuh masa, beliau pernah bekerja sebagai juruteknik, tukang kasut, ejen pelancongan dan pengawal keselamatan.

Haznie bersyukur kerana pilihannya untuk fokus dalam bidang pembuatan kapal terbang RC membuahkan hasil dan tidak pernah menyesal mengembangkan minatnya itu.

"Saya juga berterima kasih kepada rakan saya, Erni Asri yang sanggup memberi ruang di kilangnya di Taman Impian Emas di sini bagi membolehkan saya mencipta lebih banyak kapal terbang.

"Selepas ini saya mahu mencipta lebih banyak lagi kapal terbang RC dengan pelbagai reka bentuk termasuk ‘gajah terbang’ pada masa depan. Selain itu saya juga ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang ini kepada orang ramai termasuk pelajar sekolah," katanya.

Harapannya agar komuniti permainan alat kawalan jauh dan inovasi kapal terbang akan lebih berkembang pada masa akan datang.

Menurutnya, komuniti yang besar akan memberi ruang untuk bertukar idea dan menghasilkan ciptaan lebih menarik.

Orang ramai boleh mengikuti penciptaan Haznie dalam Facebook akaun haznieskullleader07 atau skulleader001 di TikTok.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28