JOHOR BAHRU - Seramai 30 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam Ops Selera membabitkan serbuan ke atas enam premis kedai makan di sekitar Masai, Pasir Gudang.
Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi sekitar jam 9 malam pada Selasa lalu itu susulan aduan orang awam.
Menurut beliau, dalam operasi itu seramai 59 warga asing dan warga tempatan diperiksa.
"Daripada jumlah itu, seramai 30 warga asing ditahan terdiri daripada 10 warga Myanmar manakala lapan Nepal serta masing-masing lima Bangladesh dan Filipina serta seorang warga India dan Indonesia.
"Mereka yang ditahan adalah dalam lingkungan usia 21 hingga 43 tahun. Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Baharuddin berkata, siasatan awal mendapati warga asing berkenaan menyalahgunakan pas atau permit untuk bekerja di premis berkenaan.
"Warga asing terbabit ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen iaitu salahguna Pas Lawatan Sosial," katanya.
Baharuddin menambah sebanyak lima notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada beberapa individu dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!