SHAH ALAM - DAP Selangor menjangkakan pertandingan merebut kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu akan sengit walaupun parti-parti bakal bertanding belum menamakan calon masing-masing
Bendahari DAP Selangor, Dr Ong Kian Ming berpandangan, sekalipun jika partinya menang, majoriti Pakatan Harapan (PH) akan kurang daripada 1,000 undi berbanding dengan majoriti 4,119 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023.
"Persekitaran politik tidak memihak kepada PH pada masa ini tetapi dengan strategi kempen dan mesej yang diselaraskan dengan baik, DAP mungkin hanya (akan) lulus ujian ini dengan margin yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Kian Ming, terdapat beberapa sebab mengapa DAP berdepan dengan pelbagai cabaran pada pilihan raya kecil pada kali ini.
"Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa ramai penyokong DAP dan PH telah kecewa dengan prestasi kerajaan perpaduan yang begitu perlahan melaksanakan reformasi institusi, dalam naratif ekonomi yang lemah (walaupun angka FDI dan pertumbuhan ekonomi terus sihat) terutama berkaitan dengan kenaikan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan.
"(Ini termasuk) pergaduhan terbuka di antara beberapa pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN), terutamanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung isu stoking KK Mart yang tertera kalimah ALLAH.
"Walaupun dalam podcast, saya telah mengatakan bahawa DAP tidak berada dalam bahaya untuk menjadi MCA 2.0 dalam masa terdekat, (namun) sentimen umum di kalangan pengundi bukan Melayu nampaknya bergerak ke arah ini,” ujarnya.
Ujarnya lagi, faktor-faktor itu bermakna peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi bukan Melayu berkemungkinan berkurangan dengan ketara pada PRK kali ini terutamanya memandangkan keputusannya tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan Selangor.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, merangkumi 46 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lima peratus pengundi lain, termasuk Orang Asli.
Penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi itu dengan mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan - Perikatan Nasional)), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 4,119 undi pada PRN lalu.
Kerusi itu kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28