SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahlinya supaya tidak bertelagah, banyakkan bermuhasabah dan berunding dengan penuh hikmah susulan pemilihan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia berikutan fokus dan tekad parti ketika ini adalah untuk terus memastikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan yang bakal bertanding dalam pilihan raya tersebut.
"Adat berkawan biarlah ada keikhlasan. Adat bekerjasama biarlah ada kesungguhan.
"Hargai nikmat berkerajaan yang ALLAH SWT berikan dan jangan leka berebut ghanimah sehingga kita lupa agenda utama adalah untuk memastikan kestabilan agar negara makin sejahtera dan rakyat beroleh kemakmuran yang melimpah ruah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini manakala pada 27 April ini sebagai hari penamaan calon.
Dalam pada itu, ujar Ahmad Zahid, beliau juga menghadiri perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan bersama di Kuala Kubu Baharu sebaik sahaja pulang dari Sabah.
"Saya amat teruja melihat semangat dan komitmen pimpinan bahagian dan ahli di akar umbi untuk memastikan persidangan cawangan-cawangan kali ini dijadikan medan untuk memperkukuhkan perpaduan dan memperkasa kesatuan dalaman parti.
"Tahniah dan syabas kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan saf kepimpinannya atas jemputan dan mengadakan majlis yang penuh meriah,” menurutnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!