IPOH - Kerajaan digesa mengambil tindakan sewajarnya akaun media sosial yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengaut keuntungan selain menyekat penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.
Pengerusi Majlis Perundingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Perak, Datuk Rosli Yang Danian berkata, pihaknya amat menyambut baik peringatan yang diberikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya ibu bapa memastikan anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri.
Menurutnya, pada masa sama, pemantauan perlu dibuat oleh pihak berkuasa terhadap akaun yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak bawah umur sama ada yang dibuat oleh ibu bapa kanak-kanak itu sendiri atau pihak lain.
"Tindakan segelintir ibu bapa yang membuat akaun media sosial anak mereka sejak kecil sesuatu yang tidak wajar. Kita tidak sepatutnya pergunakan anak-anak untuk hasilkan pendapatan sampingan melalui media sosial, itu satu kelemahan ibu bapa yang perlu diperbetulkan.
"Jadi saya harap undang-undang sedia ada seperti di bawah Akta Kanak-Kanak boleh mengawal keadaan ini bagi memastikan tiada kanak-kanak yang dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjana keuntungan. Anak-anak tidak sepatutnya jadi bahan kandungan media sosial untuk sumber pendapatan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Rosli berkata, ibu bapa harus sedar dan pastikan anak-anak mereka pada usia di bawah 13 tahun mendapat pendidikan yang sewajarnya, bukan dijadikan bahan kandungan di media sosial oleh pihak-pihak tertentu.
Menurutnya, akaun media sosial untuk kanak-kanak bukan satu keperluan malah ibu bapa harus mengawal penggunaan gajet kepada anak masing-masing terutama untuk menonton atau menggunakan aplikasi media sosial.
Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan untuk berperanan lebih aktif dalam memastikan dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan dengan memberikan penekanan lebih agresif kepada ibu bapa.
Katanya, melalui PIBG, ibu bapa boleh diberikan nasihat dan panduan supaya mereka sedar tindakan membenarkan anak-anak memiliki akaun media sosial sendiri sesuatu yang tidak wajar.
Jelas Rosli lagi, mesyuarat PIBG perlu menjadi medium untuk memberi pendedahan dan teguran kepada ibu bapa agar peringatan daripada SKMM itu diberikan perhatian serius.
Media pada Ahad melaporkan SKMM mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana SKMM mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28