Pengumuman peruntukan langgar garis panduan 3C - Rasuah Busters

Iklan
Laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - Pengumuman mengenai penyaluran peruntukan sebanyak RM5.21 juta menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu telah dibuat secara terang-terangan tanpa menghiraukan garis panduan 3C (tidak bersyarat, tidak berkempen dan tidak bawa calon).

Rasuah Busters dalam satu kenyataan berkata, pelanggaran peraturan itu dilihat sebagai isu tadbir urus yang penting memandangkan pilihan raya merupakan intipati demokrasi.

Iklan
Iklan

Katanya, penggunaan dana Persekutuan dan negeri semasa atau hampir dengan pilihan raya menjadi punca perbalahan dalam kalangan parti yang menentang.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan pelbagai peraturan iaitu mengawal kedua-dua pilihan raya umum dan kecil yang berfungsi sebagai tonggak penting dalam demokrasi kita.

Iklan

"Di sebalik peraturan ini, ahli politik mesti mematuhi piawaian dan tingkah laku etika, melangkaui pematuhan peraturan formal semata-mata.

Tangkap layar kenyataan Rasuah Busters pada Isnin.

Media pada Khamis melaporkan, KPKT memperuntukkan sebanyak RM5.21 juta bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Projek Kampung Baru Cina di kawasan itu.

Iklan

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut meliputi 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Mengulas lanjut, menurut Rasuah Busters, di sebalik jaminan yang diberikan oleh kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan tadbir urus serta membanteras rasuah, kemelut terbaharu itu jelas satu pengkhianatan terhadap kepercayaan dan keyakinan rakyat.

"Kami memohon semua pihak sama ada dalam kerajaan atau pembangkang di peringkat persekutuan atau negeri untuk mematuhi sepenuhnya peraturan dan amalan untuk menegakkan keadilan pilihan raya.

"Rasuah Busters menyokong penuh matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memindahkan Malaysia daripada ranking 57 ke 25 teratas rasuah dunia. Untuk mencapai matlamat ini, pemimpin perlu memberikan contoh kepimpinan luar biasa.

"SPR tertakluk di bawah Perkara 113 Perlembagaan dan komposisinya di bawah Perkara 114 yang membenarkan ia beroperasi secara bebas dengan pembaharuan tambahan terutamanya mengenai pelantikan pesuruhjaya, proses pelantikan dan penguatkuasaan kuasa seharusnya menjadi reformasi utama yang perlu mula dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rasuah Busters berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat sebarang pelanggaran peraturan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menegakkan integriti proses pilihan raya bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!