BACHOK - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menaik taraf 3,000 kedai koperasi mikro di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada 3 juta penduduk terutama golongan berpendapatan rendah (B40).
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kedai koperasi mikro di bawah Program Barang Asas 100 (BA100) itu akan dinaik taraf kepada koperasi sederhana dengan ditambah nilai dari aspek jualan barangan runcit melalui sistem www.jimatbiz.com dan www.jimatshop.com.
"Proses meningkatkan taraf kedai koperasi ini dilakukan menerusi dua fasa, pertama bermula pada bulan Januari hingga Mei ini dengan jumlah 1,500 kedai koperasi yang akan dinaik taraf.
"Selepas itu fasa kedua akan bermula pada Jun hingga November akan datang bagi menaik taraf 1,500 lagi kedai di seluruh negara serta dijangka seramai 3 juta ahli B40 akan menikmati manfaat daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cawangan BA 100 Peringkat IPT Malaysia di CoopMart Koperasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UMK, Datuk Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail.
Abdul Fattah berkata, perlaksanaan transformasi sepenuhnya kedai runcit koperasi termasuk yang dimiliki UMK itu dijangka dapat meningkatkan perolehan daripada RM1juta ke bawah kepada RM2.4 juta setahun.
"Program BA100 ini mendapat kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga lebih lebih murah sebanyak 5-20 peratus secara purata daripada pasaran biasa.
"Usaha juga dilakukan untuk memperbaiki struktur pemasaran barangan runcit di negara ini yang didapati banyak lapisan orang tengah menyebabkan harga barang runcit terlalu tinggi jurangnya antara pembekal, pengeluar dan pengguna,” katanya.
Tambahnya, melalui sistem e-jimat mampu mengurangkan peranan orang tengah apabila kedai runcit membuat tempahan secara berkumpulan melalui angkasa yang akan beli kepada pembekal bagi pihak 3,000 kedai koperasi.
"ANGKASA boleh menggunakan kuasa tawar menawar selain dapat memberi peluang menempatkan barangan yang tidak mempunyai tempat di pasar raya kerana tidak memenuhi syarat-syarat untuk ditempatkan di sesetengah kedai koperasi,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Azizi berkata, UMK menjadi institut pengajian Tinggi (IPT) yang pertama di Malaysia menyertai Program BA100 dan dilihat sebagai satu lonjakan untuk meningkatkan taraf operasi koperasi dalam bidang peruncitan.
"Sebagai universiti untuk masyarakat, program BA 100 ini amat bertepatan bagi membantu mengurangkan kos hidup masyarakat khususnya di sekitar Kampung Hujung Repek dan Bachok dengan menawarkan barangan pada harga berpatutan terutamanya kepada golongan B40,” katanya.