SHAH ALAM - Sebanyak 99.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit bagi tahun 2023.
Menurut laporan Survey Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2023 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dari segi penggunaan telefon, 97.6 peratus memilih telefon pintar manakala 16.3 peratus lagi masih mempunyai capaian ke atas telefon biasa.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi capaian isi rumah ke atas internet dan komputer masing-masing merekodkan 96.4 peratus dan 91.6 peratus.
"Televisyen berbayar pula mencatatkan capaian sebanyak 77.0 peratus manakala telefon talian tetap semakin tidak popular dalam kalangan isi rumah iaitu dengan hanya 27.4 peratus.
"Selain itu, dapatan survey menunjukkan capaian internet melalui jalur lebar mudah alih (95.3 peratus) terus menjadi pilihan isi rumah Malaysia berbanding jalur lebar tetap (47.1 peratus). Dari sudut lokaliti, sebanyak 98.4 peratus isi rumah di bandar mempunyai capaian internet, sementara di kawasan luar bandar hanya merekodkan 89.8 peratus," katanya pada Isnin.
Mohd Uzir Mahidin berkata, survey itu turut membentangkan penggunaan perkhidmatan dan peralatan ICT oleh individu.
Beliau berkata, berdasarkan penemuan survey, penggunaan komputer oleh individu merekodkan sebanyak 80.4 peratus pada tahun sama.
"Penggunaan komputer merangkumi penggunaan semua jenis iaitu komputer peribadi, riba atau papan elektronik mudah alih.
"Penggunaan komputer di kawasan bandar direkodkan sebanyak 86.0 peratus manakala di kawasan luar bandar adalah 63.6 peratus," jelasnya.
Tambahnya, lima aktiviti menunjukkan peratus tertinggi penggunaan ICT pada tahun 2023 iaitu aktiviti menyalin atau memindahkan fail (97.5 peratus) diikuti dengan aktiviti menggunakan teknik menyalin dan menampal untuk pendua atau memindahkan maklumat di dalam satu dokumen (96.7 peratus).
"Selain itu, aktiviti menghantar emel beserta fail mencatatkan 89.9peratus, memindahkan fail di antara komputer dan peranti mudah alih lain (83.5peratus) serta menghubungkan dan memasang peranti baru (79.4peratus).
"Bagaimanapun, kemahiran yang lebih teknikal seperti aktiviti menggunakan teknik aritmetik asas di dalam lembaran kerja dan menulis program komputer menggunakan bahasa pengaturcaraan yang khusus masing-masing merekodkan sebanyak 67.7 peratus dan 23.9 peratus," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia kekal tinggi pada 97.7 peratus.
"Aktiviti penggunaan internet yang paling popular pada tahun 2023 adalah menyertai rangkaian sosial, aktiviti memuat turun gambar, filem, video atau muzik, bermain atau memuat turun dan mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan.
"Di samping itu, peratusan untuk mendapatkan maklumat secara atas talian terus mendapat sambutan seperti aktiviti e-kesihatan, e-Dagang dan penggunaan perbankan Internet pada tahun 2023," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!