KUALA PILAH - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan seorang jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, Johol di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah kira-kira jam 4 petang, pada Ahad.
"Buat masa ini motif dan hubungan suspek dengan mangsa masih dalam siasatan polis.
"Suspek kini direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan seorang jururawat wanita lengkap berpakaian uniform ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam di tepi keretanya dengan enjin masih hidup di lokasi, kira-kira jam 10 malam pada Jumaat lepas.
Mangsa berusia 30-an itu pada awalnya didakwa dirompak, bagaimanapun tiada kejadian seperti itu sebaliknya dia hanya dipukul susulan barang berharganya tidak hilang.
Pegawai perubatan mengesahkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan dan kepala.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28