GERIK - DAP berharap Barisan Nasional (BN) bekerja keras membantu kemenangan calon dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, perkara itu dianggap membalas jasa Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang memenangkan calon UMNO sewaktu PRK DUN Pelangai, tahun lalu.
Menurutnya, semasa PRK tersebut, DAP berhempas-pulas menjalankan kempen di kawasan pengundi Cina agar memilih calon UMNO hingga membawa kepada kemenangan BN di kerusi berkenaan.
"Kawasan yang kita jaga ketika itu meraih 98 peratus undi Cina yang menyokong BN. Rekod yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.
"Semestinya kita mengharapkan semangat sama ditonjolkan dalam PRK Kuala Kubu Baharu ini nanti.
"Bak kata orang, buat baik kita balaslah budi, itu budaya Melayu kan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Gerik pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA untuk tidak terbabit dalam aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
Susulan itu, MIC turut mengambil keputusan sama atas alasan serupa.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana berjaya menyelesaikan isu MCA dan MIC itu dalam suasana harmoni.
Katanya, setakat ini, MIC menerusi Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran telah pun memberikan komitmen untuk berkempen membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.
"Dalam gabungan parti politik, tidak boleh hanya menghitung kepentingan peribadi yang sangat sempit.
"Kita perlu fikirkan masa depan negara, kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat," katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 11 Mei depan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!