Konflik Iran-Israel: Tiada keperluan mendesak bawa pulang rakyat Malaysia

Iklan
Mohamad Hasan

PUTRAJAYA - Setakat ini tidak ada keperluan mendesak untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Lubnan, Jordan dan Iran berikutan konflik Iran-Israel, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, Wisma Putra sentiasa memantau rapi keadaan rakyat Malaysia di tiga negara terbabit, dan tindakan membawa mereka kembali ke tanah air hanya akan dibuat jika mendapat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Iklan
Iklan

"Di Iran terdapat 38 orang (rakyat Malaysia) termasuk petugas kedutaan, manakala di Jordan kebanyakan adalah pelajar... ada 2,000 hingga 3,000 orang dan (mereka) tiada apa-apa masalah.

"Di Lubnan ada lebih 800 orang dan kebanyakkan adalah tentera pengaman, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (Unifil). Jadi, tiada ada masalah mendesak setakat hari ini untuk kita bawa balik warga kita dari Jordan, Lubnan dan Iran,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Wisma Putra di sini hari ini.

Mengulas konflik Israel-Iran Mohamad berkata, beliau berharap konflik dua negara itu dapat diredakan kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada dunia.

Iklan

Beliau berkata, konflik berkenaan sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk Malaysia serta negara lain hilang fokus daripada melaksanakan usaha membela nasib rakyat Palestin yang ditindas.

"Isu Palestin mesti terus diperjuangkan iaitu kekejamam yang dilakukan terhadap rakyat Palestin yang telah tertindas, dibunuh dan kampung halaman dirampas lebih 75 tahun,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada kejadian banjir buruk di Dubai, Mohamad berkata tiada rakyat Malaysia terjejas dalam bencana banjir terburuk yang melanda bandar itu dalam tempoh 75 tahun.

"Kita harap Emiriah Arab Bersatu (UAE) dapat pulih kembali, khususnya sistem di lapangan terbang. Konsulat di Dubai sentiasa berhubung dengan Wisma Putra dan tiada rakyat Malaysia terjejas ekoran bencana itu,” katanya.

Menurut laporan media, UAE menerima taburan hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun, sehingga mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan negara itu terutamanya Dubai. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28