KLANG - Empat pekerja melecur dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses makanan haiwan di Bandar Sultan Suleiman dekat sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 2.12 petang.
"Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan bahagian tangki simpanan serbuk tepung di kilang terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
"Mangsa cedera melibatkan tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki warga tempatan.
"Api dipercayai padam sebelum bomba tiba di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!