SHAH ALAM - Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Shah Alam sedang mengesan waris kepada bayi dan seorang kanak-kanak yang ditinggalkan ibu masing-masing.
Pelindungnya, Anis Zainol Abidin berkata, bayi dikenali Izz Mateen ditinggalkan ibunya ketika berusia sebulan di Hospital Sungai Buloh pada 7 Februari lalu, namun pihaknya tiada maklumat lengkap mengenai wanita terbabit yang dikenali sebagai Dina Pudyastuti, berasal dari Indonesia.
Sehubungan itu katanya, waris Izz Mateen yang kini berusia dua bulan dicari bagi mengetahui perancangan penempatan bayi selanjutnya dengan kadar segera.
"Kita sedang mengesan ibu atau waris kanak-kanak tersebut bagi urusan mahkamah pada 10 Mei ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Anis memberitahu, pihaknya turut mengesan ibu kandung kepada Raisya, 6, yang dikenali sebagai Dina Henderina Hatan atau pun waris kanak-kanak terbabit.
Katanya, Raisya ditinggalkan ibu kandungnya juga warga Indonesia di sebuah bilik sewa di U5 di sini.
Beliau memberitahu, kanak-kanak itu dilahirkan pada 5 Februari 2018 di Klinik Pakar Wanita dan Bersalin Subang Permai Selangor.
"Usaha menjejak ibu kandung atau waris gagal dan buat sementara Raisya dijaga oleh orang yang layak dan sesuai berdasarkan perintah mahkamah," kata beliau.
Sehubungan itu katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung ibu kandung atau waris bayi dan kanak-kanak tersebut, boleh berhubung terus dengan beliau di talian 03-55458901.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28