RAFAH - Israel mula memperhebatkan serangan di bandar Rafah sehingga mengorbankan 22 orang termasuk 18 kanak-kanak ketika Amerika Syarikat (AS) mengumumkan memberikan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai berbilion dolar kepada rejim Zionis itu.
Rejim itu dilaporkan memulakan serangan udara hampir setiap hari di Rafah dengan lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza mencari perlindungan di situ.
Serangan pertama pada awal pagi Ahad membunuh seorang lelaki, isterinya yang hamil dan anak mereka yang berusia tiga tahun, namun doktor berjaya menyelamatkan bayi dalam kandungan mangsa.
"Serangan kedua, juga pada Ahad membunuh 17 kanak-kanak dan dua wanita, kesemuanya daripada keluarga yang sama,” menurut pihak hospital Kuwait.
Sementara itu, serangan udara di Rafah pada malam sebelumnya mengorbankan sembilan orang, termasuk enam kanak-kanak.
Al Jazeera melaporkan dari Rafah berkata, ancaman pencerobohan darat tentera Israel di situ semakin ‘berkembang’.
Sebelum ini, Israel berikrar untuk memperluaskan serangan daratnya ke bandar di sempadan dengan Mesir walaupun terdapat seruan antarabangsa termasuk AS. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28