Usah bertempur hal remeh - PM

Iklan
Anwar (tengah ) bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 peringkat negeri Melaka di MITC Ayer Keroh, di sini, pada malam Isnin.

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat melakukan perubahan sikap dan minda dengan tidak bertempur hal remeh yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Beliau berkata, ketika ini adalah wajar untuk meninggalkan perkara sedemikian supaya tidak ketinggalan bukan sahaja dalam kalangan kaum-kaum yang bersaing namun dalam kalangan negara maju.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maka tumpuan ibu bapa pada saat ini termasuk anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains, matematik dan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) seperti mana yang diusahakan secara gigih oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ini kerana negara memerlukan tenaga baharu dan anak-anak yang berkemahiran serta mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, teknikal, digital kejuteraan, dan sektor semikonduktor bagi mengisi kekurangan kira-kira 30,000 jurutera di negara ini.

Iklan
Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, pada malam Isnin.

"Harus kita 'pusatkan' perhatian supaya kita tidak ketinggalan, jangan kita terus dalam hal-hal perbahasan yang remeh yang tidak berkesudahan.

"Tumpu, manfaatkan waktu, mendidik anak-anak memenuhi ruang lapang dengan pendidikan dengan ilmu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, pada malam Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Anwar berkata, beliau berharap kerajaan Melaka bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM) seiring dengan langkah diambil TPM yang mahu menumpukan perhatian dalam bidang tersebut.

Ujarnya, kerajaan juga akan mewujudkan fakulti baharu iaitu Teknologi Kecerdasan buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam mengimbangi ekosistem kemajuan negara.

Dianggarkan lebih 25,000 orang ramai hadir memeriahkan majlis itu yang bertemakan rimba sejak jam 6 petang.