Bakal jemaah haji konsisten jaga kesihatan, kecergasan diri

Iklan
Bakal haji perlu sentiasa berdoa kepada ALLAH agar dipermudahkan urusan dan ibadah haji diterima. Foto Saudi Press Agency (Gambar kecil dari kiri: Ahmad Sohaib, Ainur Nadia, Maznah, Mazran)

SHAH ALAM - Aspek kecergasan dan kesihatan diri adalah antara perkara paling dititikberatkan kepada setiap bakal haji sebelum berangkat ke Makkah.

Menurut Mazran Jamaludin, 43, dari Seri Iskandar, Perak, persediaan mula dilakukan sejak beberapa bulan lalu bagi memudahkannya menunaikan rukun Islam kelima itu.

Iklan
Iklan

"Saya kerap melakukan aktiviti riadah dengan memperbanyakkan berjalan untuk memantapkan stamina dan menguatkan otot kaki.

"Dari segi pemakanan pula, saya tidak lagi mengambil makanan bergula dan berminyak selain mengelak makanan yang menjadi punca angin,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor.

Iklan

Mazran berkata, dalam usaha meningkatkan pengetahuan, dia banyak mengikuti latihan amali secara simulasi menerusi kursus disediakan Tabung Haji.

"Ini kali pertama saya ke Tanah Suci menunaikan haji.

Iklan

"Alhamdulillah, syukur sangat mendapat panggilan tahun ini,” katanya yang berpeluang menunaikan ibadah itu bersama isteri, Siti Khairina Abu Kasim, 47.

Sementara itu, Maznah Yunoh, 61, dari Kota Bharu, Kelantan turut melakukan persediaan mental dan fizikal bagi memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik.

Aspek kecergasan dan kesihatan diri adalah antara perkara paling dititikberatkan kepada setiap bakal haji sebelum berangkat ke Makkah.

Maznah yang juga pesara guru berkata, sejak terpilih bersama suami menunaikan haji tahun ini, mereka mula menjaga pemakanan kerana ibadah haji amat mencabar walaupun pernah menunaikan umrah.

"Syukur sangat-sangat setelah dua kali buat rayuan, akhirnya ALLAH pilih saya dan suami untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini.

"Kami menyertai lebih tiga kursus berkaitan ibadah haji. Insya-ALLAH diharap semuanya baik,” katanya.

Guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) dari Kedah, Ahmad Sohaib Ahmad Shobri, 36, mengakui gemuruh sebaik mendapat panggilan menunaikan fardu haji tahun ini.

"Perasaan sangat bersyukur tapi pada waktu sama rasa gemuruh untuk ke sana kerana memikirkan amalan selama ini.

"Antara persiapan segi jasmani yang akan dilakukan adalah dengan berjoging selama setengah jam sehingga satu jam sepanjang Syawal ini,” katanya yang akan bertolak ke Tanah Suci pada 12 Mei depan.

Ainur Nadia Zakaria, 39, turut berasa bersyukur dipilih untuk sampai ke tanah suci pada tahun ini.

Ainur Nadia yang merupakan pegawai pemasaran memberitahu, dia dan suami kini sibuk membuat persiapan rapi sebelum menjadi tetamu ALLAH.

"Saya dan suami menjual emas dan mengeluarkan duit simpanan untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini," ujarnya yang menetap di Putrajaya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28