SKUAD Harimau Muda diharapkan tidak pulang dengan tangan kosong dan cuba meraih mata dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) menentang Kuwait di Stadium Al Janoub pada Selasa.
Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berkata, biarpun perjuangan skuad kendalian Juan Torres Garrido telah berakhir, namun mereka perlu menunjukkan semangat juang tinggi dan berusaha mendapatkan keputusan positif dalam aksi terakhir itu.
Menurutnya, kegagalan menjaringkan sebarang gol selepas dua perlawanan juga sesuatu yang amat menyedihkan dan jentera serangan negara perlu lebih tajam untuk memecahkan kebuntuan gol.
"Takkan kita nak balik dengan tangan kosong, jadi kena lakukan sesuatu dalam perlawanan menentang Kuwait untuk raih kemenangan atau sekurang-kurangnya satu mata untuk dibawa balik.
"Kalau tidak, ia bukan sesuatu yang bagus untuk pasukan negara.
"Kita juga belum dapat menjaringkan gol dan mereka kena berusaha memastikan ada jaringan terhasil dalam perlawanan itu.
"Kita sangat tumpul di jentera serangan dan sekiranya ia boleh diperbaiki, kita mampu untuk mencatatkan keputusan positif menentang Kuwait," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Perjuangan skuad negara untuk mara ke suku akhir dalam kempen Piala Asia B-23 di Qatar sudah pun terkubur selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan selain turut tewas dengan jaringan sama kepada Vietnam Sabtu lalu.
Kegagalan itu juga menyaksikan hasrat skuad negara untuk ke Sukan Olimpik Paris turut musnah.
Dalam pada itu, Richard berkata, banyak perkara yang perlu diperhalusi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak kejurulatihan Harimau Muda berdasarkan persembahan hambar di Piala Asia B-23 itu.
"Keseluruhannya, mereka perlu melihat kembali persembahan di Piala Asia ini.
"Bagi saya banyak kesilapan kecil yang dilakukan pemain sehingga kita gagal meraih kemenangan dalam perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.
"Namun, saya percaya jika ada persiapan rapi dan pihak kejurulatihan ada masa yang lebih untuk menilai pemain yang akan dibawa, saya yakin untuk kejohanan lain kita akan mampu lebih baik," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28