SHAH ALAM - Sesiapa sahaja pasti gembira jika anak berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mahupun apa jua bidang diceburi.
Seperti dilalui sebuah keluarga yang berpelukan erat setelah salah seorang anak mereka mendapat keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) baru-baru ini sehingga menyentuh hati ribuan warga maya.
Menerusi perkongsian video di akaun Tiktok mahizaizmahanatulain, kelihatan si ibu membuat semakan secara dalam talian keputusan ujian anaknya itu di telefon bimbit.
Dapat dilihat, mereka sekeluarga menjerit kegembiraan kerana sangat terkejut dengan keputusan yang terpapar dan secara spontan wanita tersebut merangkul erat anak lelakinya.
Apa yang membuatkan netizen lebih terharu apabila melihat sang ayah turut bertindak mengusap lembut kepala anaknya.
"Allahuakbar, alhamdulillah, terima kasih ya ALLAH.
"Abang berjaya buktikan abang boleh dapat 8A dalam UPKK walaupun hari-hari kena marah dengan mama, kena berleter sebab minta abang ulang kaji.
"Walaupun terpaksa, abang turutkan juga.
"Abang tengoklah, ini semua hasil usaha abang selama ini.
"Inilah keputusannya, cukup membanggakan mama dan papa serta semua.
"Mama sayang abang sangat-sangat," tulisnya di media sosial itu pada Jumaat.
Menjengah ruangan komen, rata-rata yang menonton video itu terharu melihat kemesraan keluarga tersebut sehinggakan ada yang menitiskan air mata selain mengucapkan tahniah di atas kejayaan berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28