'HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih' sering digunakan apabila berhadapan situasi atau perkara yang mustahil untuk dicapai dan berjaya dilakukan sebelum memperoleh hasil di luar jangkaan.
Bagaimanpun, dengan azam dan impian yang tinggi, tiada perkara mustahil dalam dunia ini walaupun pelbagai rintangan serta cabaran terpaksa dihadapi terlebih dahulu.
Ia juga bukanlah alasan untuk berputus asa, malah boleh dijadikan sebagai penguat dan motivasi kepada diri bagi membuktikan setiap perkara yang diinginkan boleh menjadi kenyataan.
Sebagai contoh pada Jumaat (19 April), tiga rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri berjaya tiba di Madinah, Arab Saudi dalam misi menunaikan rukun Islam kelima, ibadat haji selepas 105 hari melakukan pengembaraan berbasikal dari Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga mereka ialah Ahmad Mohd Isa, 36, isterinya, Noradilah Mohd Sapie, 37, dan seorang kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Abdul Halim Talha, 57, tiba di destinasi selepas menempuh perjalanan sejauh 12,000 kilometer (km).
Ahmad berkata, kayuhan kali ini lebih singkat berbanding kayuhan sama sembilan tahun lepas kerana matlamat utama ialah melakukan haji selain separuh perjalanan pula terpaksa menggunakan kenderaan seperti kereta api, kapal terbang, feri dan kereta atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Mereka melalui Thailand sebelum mengambil penerbangan ke India dan menyambung kayuhan ke Pakistan dan Iran dan kemudian menaiki feri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terus berkayuh ke Arab Saudi.
Keutamaan perlu diberikan terhadap perkara tersebut kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang, jadi tidak salah jika 'sediakan payung sebelum hujan'.
Paling penting adalah kewangan, sudah pasti ia menjadi perkara pertama yang difikirkan sebelum sesuatu aktiviti dilakukan kerana banyak kos diperlukan untuk memastikan sesuatu perkara atau impian itu menjadi realiti.
Jika tidak mampu untuk mengeluarkan wang peribadi dalam jumlah yang banyak, ada alternatif lain boleh diambil seperti berniaga, memohon bantuan atau sumbangan.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Pengamal Kewangan Islam, Umar Ikhwan Abdullah@Sudin berkata, bantuan kewangan bagi jemaah haji Malaysia adalah penting kerana langkah tersebut membolehkan individu yang memerlukan bantuan kewangan untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut beliau, tanpa bantuan kewangan ramai individu tidak mampu untuk menunaikan haji atas faktor kewangan yang terhad.
Jelasnya, pada musim haji tahun ini (17 Jun) TH akan menanggung bantuan kewangan haji berjumlah RM350.1 juta.
Kerajaan Malaysia turut memperuntukkan sejumlah RM1,000 untuk setiap bakal haji kumpulan B40 sebagai tambahan kepada bayaran haji mereka.
Sementara itu, Umar Ikhwan menjelaskan, terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi peningkatan kos haji pada tahun ini dan wujud kos secara langsung dan tidak langsung.
Kesimpulannya, persiapan rapi perlu dilakukan sejak awal kerana banyak perkara di luar kawalan boleh berlaku tetapi dengan adanya inisiatif daripada pihak kerajaan mungkin dapat meringankan sedikit beban rakyat atau umat Islam yang mahu menunaikan haji atau umrah.
Semoga setiap impian dan cita-cita yang ingin dicapai akan menjadi kenyataan dengan usaha, tekad dan iltizam yang tinggi dalam diri serta jadikan amalan berdoa sebagai rutin bagi meminta pertolongan daripada-NYA.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28