NILAI- Projek pembinaan jalan baru Nilai-Labu ke Bandar Enstek yang merupakan projek katalis dalam pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV 2.0) sudah mencapai kemajuan 40 peratus sehingga kini.
Exco pelaburan, perindustrian, keusahawanan, pendidikan dan modal insan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, projek sepanjang 16.3 kilometer ini telah bermula sejak Julai 2017 dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2022.
" Ketika ini, projek tersebut berada pada tahap kemajuan secara fizikal dengan 56 hari lebih awal berbanding jadual asal yang ditetapkan, ini turut mengambil kira isu-isu pengambilan balik tanah yang berkaitan laluan pembinaan jalan.
" Projek ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan pusat, kerajaan negeri melalui pembangunan MVV 2.0 untuk melonjakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang lebih pesat di Negeri Sembilan," katanya dalam sidang media selepas selesai lawatan kerja di parcel B jalan baru Nilai- Labu ke Bandar Enstek di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata, kerajaan Negeri Sembilan juga bercadang untuk memanjangkan laluan jalan tersebut sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
" Kita akan membuat perbincangan secara lanjut bersama kerajaan persekutuan bagi tujuan tersebut susulan laluan terakhir projek iaitu di persimpangan kilang Kellogg ke KLIA hanya lapan kilometer," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Rafie berharap agar projek berkenaan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan MVV 2.0 dengan pembangunan infrastruktur dalam memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di kawasan itu.
"Pada masa ini kita memberi tumpuan kepada Parcel A iaitu di kawasan Nilai meliputi ladang Hamilton, New Labu, Labu dan Kirby. Pemaju utama MVV 2.0 sedang menyiapkan Master Layout Plan untuk dikemukakan kebenaran merancang projek.
"Adalah menjadi harapan kita agar kerja-kerja tanah projek ini akan dapat dimulakan pada suku ketiga tahun ini, kerajaan juga mengalu-alukan pelabur untuk melabur di kawasan MVV 2.0 dan bersedia untuk berbincang lanjut bagi menjayakannya," katanya.